Thursday, 13 February 2014

Perjalanan Seorang "Nadira"- Selamat Hari Radio Sedunia

Selamat Hari Radio Sedunia.   

Radio. 

Satu perkataan yang sungguh besar ertinya pada aku. Sejujurnya aku tidak pernah terfikir untuk berada di mana aku berada sekarang. Tidak pernah terfikir untuk bekerja di radio, tidak pernah terfikir akan dikenali kerana radio, tidak pernah terfikir membina keluarga dengan hasil kerja radio, tidak pernah terfikir langsung aku berada dalam "radio".

Untuk itu aku harus berterima kasih kepada sahabatku Rosnah Bujairomi yang membuka ruang untuk aku berada di sini.  Aku macam orang lain juga suka dengar radio. Yelah masa kecil radio je yang kami mampu.  Kalau dengar kaset pun lagu-lagu kegemaran abang-abang dan kakak-kakak aku.  Radio boleh dikatakan teman setiala terutama waktu belajar. 

Aku ingat lagi masa tingkatan 4, aku tengah buat kerja sekolah sambil dengar radio dan tiba-tiba DJ umumkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad meninggal dunia.  Beia-ia aku menangis.  Seharian.  Masa belajar di UiTM plak, waktu study malam-malam aku sering ditemani suara Ismahalil dengan cerita-cerita hantunya.  Aku suka mendengar lagu-lagu (secara percuma sebab tak mampu beli kaset) dan celoteh DJ yang suaranya lunak dan petah berkata-kata.

Berbalik kepada macam mana aku boleh bermula di radio, semua bermula pada hari terakhir peperiksaan semester 4 di UiTM bilamana aku mendapat surat penarikan balik tawaran membuat latihan amali sebagai wartawan di NTV7, bersama dengan sahabatku Rosna atau mesra di panggil Che Pah. Dalam erti kata lain aku tak ada tempat untuk membuat latihan amali pada semester 5 sebab banyak tempat lain yang kami dapat dah dipasskan kepada kawan-kawan.  Che Pah dah pucat-pucat muka sedih, aku pun samala juga tapi aku tetap aku, jangan difikirkan sangat.  Aku cakap dengan Che Pah, aku nak balik kampung dulu, lepas seminggu aku akan hubungi dia.

Lepas seminggu, Che Pah call aku dan beritahu, kawan boyfriend dia cakap radio ERA nak cari pelatih amali dan dia dah hubungi penerbit stesen radio tersebut dan kami diminta datang temuduga. Aku pun tak berapa tahu sangat pasal Radio ERA ni tapi apa yang pasti sebulan sebelum tu, Che Pah selalu datang bilik aku dan tukar channel radio aku ke channel radio ni, Radio baru katanya, tapi masa tu tak dapat menarik perhatian aku sebab aku suka dengar Radio Muzik.

Pada hari yang dijanjikan kamipun datanglah temuduga di Astro dan aku bertemu dengan Kudsia Kahar, pengurus ERA ketika itu dan juga Encik Rafi Mansur penerbit ERA.  Selepas perbincangan, Alhamdulillah kami berdua mendapat tempat membuat latihan Amali di ERA Rentak Muzik Terkini. 

Dengan Kudsia Kahar -Jamuan Perpisahan Tamat Praktikal

Makanya pada 14 Disember 1998, bermulalah kehidupan aku dan Che Pah sebagai pelatih di ERA Rentak Muzik Terkini.  Kami diletakkan dibawah selian penerbit Allahyarham Encik Rafi Mansor dan Seelan Paul. Waktu tu, ERA baru berusia 6 bulan dan semua perkara dilakukan dengan kerjasama sepasukan.  Sebelah pagi dan petang kami dipertanggungjawapkan untuk menyediakan, berita-berita luar negar, infocuaca, Infosihat, Infotrafik dan kapsul serta content yang diperlukan.  Sebelah tengahari, diperuntukkan untuk membuat kerja-kerja di bahagian promosi seperti packing hadiah dan sebagainya.

Banyak suka dan duka yang aku tempuh sepanjang 4 bulan (tambah sebulan lagi extend sendiri) menjalani latihan amali di ERA.  Dalam tempoh 5 bulan itu aku tak sangka, dunia aku akan bertukar 360 darjah. Dari seorang gadis yang datang dari kampung yang orang pun tak tahu di mana letaknya, aku mula dikenali.  Bila balik ke UiTM untuk semester 6, semua orang sibuk tanya, mana satu Nadira Azizan yang praktikal di ERA tu.  Tapi bukan itu yang aku cari, di ERA aku kenal erti persahabatan, erti kejujuran dan keikhlasan. Di ERA aku belajar untuk menyukai dan enjoy dengan apa yang kita lakukan.  

Team Pioneer ERA Rentak Muzik Terkini
Dari Kiri belakang: Najman, David, Krill, Gerard, Jamal dan Halim
Dari Kiri depan: Allahyarham Rafi Mansor, Rosna Bujairomi, Kudsia Kahar, Nadira Azizan, Linda dan Seelan

Belum sempat habis belajar aku ditawarkan kerja tetap di ERA sebagai Junior Writer, Alhamdulillah sekurang-kurangnya aku tidak perlu bersusah payah mencari pekerjaan untuk menanggung diri aku sendiri dan mak.  Tapi aku tak sangka, pada hari aku menandatangani surat tawaran tersebut iaitu pada 30 Oktober 1999, aku tidak akan bekerja dibawah sifuku tetapi sebaliknya aku akan menggantikan beliau yang kembali ke Rahmatullah pada hari tersebut.  

9 November 1999, aku memulakan kerjaya aku di ERA Rentak Muzik Terkini dengan Jawatan Junior Writer, kemudian aku diberi peluang untuk belajar keudara dan di beri peluang keudara sebagai penyampai.  Kerjaya aku naik setapak demi setapak, sehinggalah aku meninggalkan ERA untuk menyertai THR Gegar. Mungkin agak lambat pada sesetengah orang tapi aku gembira dengan hasil-hasil kerjaku yang masih diingati orang sampai sekarang.

Poskad ERA Rentak Muzik Terkini yang pertama. Tak pernah termimpi untuk jadi sebahagian daripadanya.

Selepas 14 tahun dalam  bidang ini aku happy dengan semua kenangan yang aku kutip. Aku tak tahu sampai bila aku akan berada dalam industri radio ini, yang pasti aku sukakan dunia ini.  Dunia suara di sebalik dinding ini.   

Selamat Hari Radio Sedunia untuk sifu-sifuku Kudsia Kahar, Allahyarham Rafi Mansor, Suby Mohtaruddin, Seelan Paul, Krill Rashid, Najman Mohamad, Linda Onn, David Low, Gerard dan Kak Zue. Dan Selamat Hari Radio untuk semua yang terus menghidupkan industri ini. 

Anugerah ERA