Wednesday, 14 August 2013

Dia, Aku dan Kami

Hadirnya dia ke bumi Allah SWT ini pada tahun 1995, sebenarnya tidak berapa jelas di ingatanku kerana ketika itu aku sedang kalut dengan kehidupan remajaku. Remaja yang baru belajar tentang keindahan dan kesakitan sebuah cinta monyet.  Remaja yang sedang bergelut untuk memastikan kesinambungan pembelajaran berterusan. Remaja yang sedang berjuang mengawal realiti kehidupan.

Namun kepulangan selepas tamat STPM membuka ruang untuk aku lebih mengenalinya.  Mengenali anak kecil bertubuh kurus itu, kata doktor kurang zat makanan.  Sejak itulah dia menjadi sebahagian daripada hidupku.

Masih aku ingat percutian pertama kami berdua di Pulau Pangkor ketika usianya baru menginjak setahun lebih. Berjauhan dengan mama dan ayah untuk beberapa hari tidak menjadi kudis padanya kerana ada aku. Aku yang padanya ketika itu lebih dari seorang maksu.

Melayani kegilaan ku menyiapkan assignment dengan menjadikan dia model photocomm ku.  Mengheretnya berjalan kaki hingga ke Taman Tasik Taiping hanya dengan upah aiskrim.

Juga masih aku ingat ketika dia datang bercuti di Kuala Lumpur di usia 6 tahun.  Menerima cinta hatiku seadanya.  Dan juga masih aku ingat di hari raya itu bila kami mengambil gambar keluarga bersamanya buat pertama kali.

Masih segar diingatanku mainan perasaan kanak-kanaknya yang mempertikaikan, dia anak mamie dan babah, tapi kenapa namanya tidak ada "Hasrul" seperti adik Addin dan jawapan kami, abang "Hasrul Aboy Naim"

Dan hari ini, 14 Ogos 2013, "Hasrul Aboy Naim"ku atau Hakimi Ikhmal sudah bergelar seorang lelaki di usia 18 tahun.  Bukan lagi anak kecil yang sentiasa menantikan kepulanganku setiap kali cuti dan perayaan, kerana sekarang tiba giliran aku menanti kepulangan.

Hari ini dia menjadi kebanggaanku, babah dan mamanya.  Melawan segala halangan untuk berjaya dalam hidup.  Menjadikan sebuah kehilangan satu kekuatan.

Di hari ini, dihari ulangtahun kelahiranmu ke 18 ini, tiada yang mampu mamie berikan selain kasih sayang yang tak pernah berkurang dan doa yang berpanjangan. Semoga Abang Boy akan menjadi manusia yang berbakti pada agama dan bangsa.

Selamat Ulangtahun ke 18- "Hasrul Aboy Naim" Ku.............



No comments:

Post a Comment