Sunday, 25 May 2014

Perjalanan Seorang "Nadira"- Putera ke5 Hasrul Rayyan Naim

Hasrul Rayyan Naim dilahirkan pada 26 Mei 2012 pada jam 4.05am di Bilik Pembedahan Hospital Putrajaya dengan berat 2.84kg, tinggi 47cm dan ukur lilit kepala 34cm pada usia kandungan 36 minggu. Hasrul Rayyan Naim nama yang dipilih oleh suamiku yang bermaksud “Nikmat penjaga pintu syurga untuk mereka yang berpuasa”.

Throwback (bak kata orang-orang sekarang), selepas keguguran kandungan keempat pada November 2009, aku mengambil suntikan perancangan keluarga semula dan tidak pernah berbincang tentang percubaan untuk menambah bilangan ahli keluarga lagi.  Mungkin kerana trauma yang lalu, tapi aku pernah berpesan kepada suami, jika ada rezeki kami lain kali aku ingin kembali ke hospital yang sama aku lahirkan anak-anak sebelum ini bukan hospital berdekatan rumahku itu. Selepas genap setahun, aku tiba-tiba terasa malas untuk meneruskan suntikan tersebut. 

Dan…selepas beberapa bulan, hadirlah dia dalam diriku. Kehadiran Rayyan aku sahkan di Hotel Grand Reverview Kota Bharu sewaktu aku membuat tugasan luar.  Gambar ujian kehamilan itu aku mmskan kepada suami dan jujurnya dia membalas, “maksudnya?”.  Dan aku balas, “nak masuk 5 anak pun belum faham lagi?.”

Itu adalah tugasan luar terakhir aku kerana selepas itu aku tidak lagi dizinkan oleh suamiku untuk travel jauh-jauh.  Mungkin dia merasakan apa yang berlaku sebelum ini sedikit sebanyak disebabkan jadual travellingku yang begitu padat.


Mengandungkan Rayyan aku tak begitu teruk alahannya cuma cepat letih, aku rasa lebih kerana pertambahan berat badanku, untuk 3 puteraku yang pertama, berat aku cukup 60kg aku selamat melahirkan mereka tapi Rayyan, diawal kehamilan sahaja beratku sudah mencecah 61kg.  Ermm mungkin juga faktor usia.
Segalanya berjalan lancar sehinggalah pada 22 Mei 2012, kandunganku berusia 35 minggu 5 hari. Hari itu aku ada check up di hospital Putrajaya sebagai proses booking untuk membolehkan aku bersalin di sana.  Sampai dihospital sambil menanti nombor giliran, aku dan suamiku bergurau dan mengimbas saat-saat 3 kelahiran anak-anakku di hospital ini.

Tiba-tiba aku berkata,” entah-entah nanti jadi macam masa abang chik, lepas check up doctor kata dah kena masuk wad ni, langsung tak jadi nak jalan-jalan kat Alamanda”.  Itulah yang terjadi pada tahun 2006. Sejak pagi aku sudah mula rasa sakit tapi tidaklah sekuat mana, dan kami sekadar pergi ke hospital malam itu untuk pemeriksaan dan bertanya sama ada selamat untuk kamu travel balik kampong. Selepas di periksa, doctor cakap bukaan sudah 2cm dan contraction setiap lima minit dan aku perlu di tahan di wad malam itu juga.

Bila mengenangkan peristiwa itu kami ketawa.  Akhirnya tiba giliran aku berjumpa doktor, aku sudah sedia baring untuk ultrasound dan doktor menghampiri aku sambil membaca maklumat dalam buku rekod kehamilanku.  Sebaik sahaja gel disapu, bayangan bayi dalam perutku kelihatan, aku mengesan riak tidak enak diwajah doktor itu.  Riak yang aku tidak suka kerana ianya riak kebimbangan sama seperti 3 tahun lalu. 

Kemudian doktor memberi penjelasan, air ketubanku terlalu kurang, yang tinggal hanyalah dicelah-celah lipatan tubuh badan bayiku. Dan akhirnya kemasinan mulutku dan gurauan kami menjadi kenyataan. Kata doktor,” Air ketuban puan kurang, tapi baby masih kuat. Kami mungkin perlu tahan puan di wad tapi kita akan periksa jumlah sebenarnya dahulu.” 

Aku hanya mengangguk tanda faham.
Keluar dari bilik doktor aku khabarkan pada suami yang menunggu dan kami masih mampu tersenyum… sejarah berulang lagi… Lepas lebih kurang 10 minit menunggu, aku dipanggil dan inilah yang diberitahu pada aku,” Kami dah kira, kandungan air ketuban puan hanya tinggal 6 dan jumlah sepatutnya sekurang-kurangnya 12 pada waktu ini.  Puan perlu masuk hospital sekarang juga, oleh kerana kandungan puan lagi 2 hari cukup 36 minggu, kita hanya akan induce puan selepas itu.  Sekarang kami akan berikan puan satu suntikan untuk mematangkan paru-paru baby dan satu lagi selepas 12 jam. Puan boleh minta suami uruskan kemasukan ke wad.” Sekali lagi aku hanya mengangguk.

Sementara menunggu giliran mengambil suntikan, suami menguruskan prosuder kemasukan wad.  Selepas mengambil suntikan dan menunggu sehingga asar, kami dimaklumkan masih belum ada katil kosong, kami dibenarkan pulang dahulu dan akan dihubungi jika sudah ada katil yang kosong, jika masih belum ada kami perlu datang semula jam 12 tengah malam untuk mendapatkan suntikan matangkan paru-paru baby yang kedua.

23 May 2012-12 tengahmalam-Hospital Putrajaya, kami kembali ke bilik bersalin untuk mengambil suntikan kedua.  Usai semuanya, kami dimaklumkan untuk balik dahulu dan datang semula keesokkan harinya.

23 May 2012- 9.30am- Hospital Putrajaya. Awal lagi kami dah ada disana, menanti sambil membuat lawak-lawak sesama sendiri.  Menjelang tengahari barulah ada katil kosong dan dapatlah meluruskan belakang di atas katil.
Malam tu, ubat induce yang pertama dimasukkan. 

24 May 2012 – Wad 3B Hospital Putrajaya, masa dihabiskan dengan berehat dan menjahit sarung bantal baby.  Nasib baik mak ada di rumah masa tu, dalam keadaan mata pun dah tak berapa nampak, kena jahit tangan plak tu, mak berjaya tolong siapkan sarung tilam dan sarung bantal baby yang lain.  Terima kasih mak.

Kesakitan sudah mula terasa, datang dan pergi namun bukaan agak perlahan.  
Entah kenapa hati aku menjadi takut sangat hari tu, boleh dikatakan waktu itu ramai pulak yang bersalin secara pembedahan atas pelbagai sebab.  Airmata mula mengalir, aku takut, takut sangat, manusia tidak selalu diberi peluang banyak kali dan bernasib baik. Aku dah dua kali bernasib baik, seinci dari kematian sewaktu melahirkan Firdaus dan keguguran Baby X. Ya Allah, hanya padaMu aku berserah. Mungkin juga kerana itu yang diberitahu oleh doktor sewaktu pemeriksaan, pembedahan adalah jalan terakhir untuk menyelamatkan baby.

25 May 2012-Wad 3B Hospital Putrajaya, 6am pemeriksaan bukaan mendapati 2cm dan contraction 3/10.  Oleh kerana contraction dah semakin kerap hari ini doktor takkan masukkan ubat.  Menjelang tengahari bukaan naik ke 3cm.

Petang mak datang dan tak lama lepas tu babah naik dan tanya,” boleh turun? ‘Imran ada di bawah”.  Rindu sungguh aku pada kemanjaan puteraku yang seorang ini. Kerinduan membuatkan aku terlupa pada burger yang aku pesan dan kami turun ke bawah.  Baru sekejap melepaskan kerinduan, tiba-tiba 2 orang jururawat menghampiri dan memberitahu, doktor pakar arahkan untuk aku dibawa ke wad bersalin. Kami semua terkejut dan saling berpandangan. Sempatlah aku memohon maaf dan ampun daripada mak.  Babah kata, dia hantarkan mak dan anak-anak balik dulu dan akan datang semula.


Jam 6 petang air ketuban aku dipecahkan dan pada masa itu bukaan kekal 3cm dan menurut kata doktor pakar oleh kerana ini adalah kehamilan ke5 ku, jika mencapai 5 atau 6cm sudah memadai.  Entah kenapa bilik bersalin tu terasa panas, sangat kurang selesa dan jururawat maklumkan, ada gangguan bekalan elektrik, kuasa tidak mencukupi, mujurlah ada babah untuk tolong kipaskan.  Aku masih mampu tersenyum masih mampu melawak dengan babah.

Menjelang hampir 12 malam, senyumku bertukar airmata, mimpi ngeri yang aku takuti terjadi lagi.  Tidak ada perkembangan langsung dengan bukaan, baby juga tidak membantu kerana sentiasa tidur. Untuk mengelakkan sesuatu yang lebih buruk doktor memutuskan untuk aku menjalani pembedahan.  Ya Allah, ujian apakah kali ini.  Aku sudah mula menangis, untuk kali ini aku takut sangat. Adakah aku akan bernasib baik sekali lagi? 

Jam 3 pagi, 26 May 2012- bilik Bersalin Hospital Putrajaya, pakar bius datang dan memberi suntikan bius kepadaku dan aku mula rasa mengantuk, perkataan terakhir aku pada babah ialah, “ira ngantuk” dan aku dengar babah cakap, “tidur jelah”.
Ya Allah sakitnya, kenapa ada tangan masuk dalam perutku dan menggoncang perutku kasar dan tanpa sedar aku menjerit,”Sakit” dan seorang jururawat dengan pantas terus memasang gas penahan sakit dihidungku dan aku hanyut sekali lagi.

Aku mengambil masa yang agak lama untuk sedar di bilik pembedahan dan sebaik sedar aku terus bertanya macam mana dengan babyku? Kata jururawat, baby selamat dan dah dibawa ke wad.  Aku kemudian di tolak ke wad dalam keadaan masih separuh sedar.  Tidak bermaya sekali kelahiran kali ini aku rasa, selepas aku dipindahkan ke katil wad, jururawat menolak masuk baby dan memberitahu babah boleh azankannya dan aku tanya baby apa? Babah jawap, lelaki, dan aku ucapkan,”Alhamdulillah”.  Sesungguhnya aku yakin Allah SWT mempunyai rencana yang lebih baik dengan tidak memberi aku cahayamata perempuan.  Aku redha dan terima dengan kesyukuran. 

Memandangkan kesan ubat bius yang belum habis, baby dijaga oleh jururawat dan menjelang tengahari barulah aku sedar. Alhamdulillah babah dan mak dah pun sampai ketika itu.  Dan tengahari itu barulah aku berpeluang memegang dan menyusukan babyku. Selamat datang anak mamie, Hasrul Rayyan Naim.



Catatan ini dicoretkan menjelang ulangtahun  kelahirannya ke2nya. Selamat Ulangtahun ke2 semoga menjadi anak yang baik dan terus memekarkan cinta itu.  Mami sayang Adik…. Rabu/21 May 2014

No comments:

Post a Comment