Radio!!!
Macam-macam cara
orang mendengar radio sekarang seiring dengan kemajuan teknologi. Boleh dengar melalui frekuensi FM, online,
aplikasi di telefon bimbit, melalui saluran televisyen dan juga merentas
garisan geografi dunia. Radio juga bukan lagi untuk di dengar tetapi juga dilihat. Kerjaya di radio juga sudah berubah daripada sebahagian daripada pengamal media kepada selebriti media. Besar ruang
radio ini membuatkan ramai yang tertarik dan berminat untuk menyertai radio.
Perjalanan kerjaya
radio aku mungkin tidak seperti orang lain, kerana setiap dari kami punya
cerita tersendiri. Daripada seorang bekas pelajar sekolah agama dan kerja biasa-biasa kemudian jadi penyampai radio - itu Krill Rashid, dari seorang arkitek menjadi penyampai radio - itu Halim Othman dan macam mana seorang
pelajar jurusan sukan boleh menjadi penyampai radio, penerbit, pengurus dan
sekarang memegang jawatan tertinggi- itu Seelan Paul. Terima kasih kerana tolong promote aku pada
Kudsia Kahar untuk ambil aku sebagai pekerja.
Aku kenang jasa kau sampai bila-bila.
Perjalanan kerjaya
aku dalam radio ibarat seperti mendaki tangga bangunan Menara di UiTM Shah Alam
ke tingkat 13 bila lift rosak. Kadang-kadang laju, kadang-kadang perlahan, ada
masa penat dan lelah ada masa penuh semangat. Dan dalam pendakian itu, aku berselisih dengan ramai
orang, membina persahabatan dan kenangan.
Aku bermula sebagai
‘intern’ atau pelatih amali. Selama 4 bulan aku membuat latihan amali di stesen
radio Era Rentak Muzik Terkini ketika itu secara rasmi dan menyambung secara
tidak rasmi selama 2 bulan lagi sehingga tamat cuti semester. (lebih detail boleh klik
http://nadiraazizan.blogspot.my/2014/02/perjalanan-seorang-nadira-selamat-hari.html)
Selepas tamat latihan
amali aku menyampung pelajaran di semester akhir. Aku sibuk dengan pelajaran aku sehinggalah,
aku mendapat khabar penyelia dan sifuku Allahyarham Rafi Mansor dimasukkan ke
ICU. Aku bergegas ke HKL dan masa aku
sampai dia dah tak boleh bercakap, lehernya dah ditebuk tapi Alhamdulillah dia
dah sedar. Dalam kepayahan dia tanya
aku, resume dah hantar belum? Aku teringat pesan dia untuk aku jadi assistant
dia lepas habis belajar. Aku cakap,
nanti aku hantar.
Balik dari hospital, aku
terus singgah cyber café, taip resume dan email pada Kudsia Kahar. Aku ingat lagi kandungan email itu. Aku cakap pada Kudsia, aku tak kisah kalau
dia tak ambil aku kerja sebab aku tahu English aku tak bagus sangat sedangkan kefasihan
dalam berbahasa Inggeris adalah keperluan utama di Astro. Tapi aku hantar
resume ni sebab aku dah janji dengan Encik Rafi. Kalau Encik Rafi tanya, cakap aku dah hantar.
Kemudian, Kudsia
panggil aku dan beritahu, aku dapat pekerjaan itu bermula sebagai Junior Writer
dan aku bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan pada aku. Tapi aku perlu mula secepat mungkin kerana
keadaan kesihatan Encik Rafi. Selepas
berbincang dengan pensyarah dan penyelia projek akhir, aku dapat pelepasan awal
untuk mula kerja.
30 Oktober aku
menandatangani surat tawaran kerja itu di hari yang sama Allahyarham Encik Rafi
meninggal dunia, meninggalkan “ERA” kesayangannya di tangan aku. Dan aku memulakan kerja secara rasminya pada
9 November 1999 dengan azam untuk menjadikan ERA stesen radio nombor 1 seperti yang diinginkan oleh Allahyarham Rafi.
Secara rasminya
tugasan aku adalah menulis dan membaca berita, feature-feature content yang ada
untuk ERA, macam Teknosains, InfoSihat, Infocuaca, Infotrafik dan macam-macam
lagi. Tetapi kerana kami masih baru lagi
ketika itu, semua perkara dilakukan secara berpasukan. Setiap kempen akan dimulakan dengan sesi
brainstorming sepasukan. Dari mencari
nama kempen sehinggalah ke perjalananan dan perlaksanaan kempen. Aku juga dipertanggungjawapkan untuk mengendalikan
urusan-urusan admin ERA, jadual kerja, jadual cuti, kumpul artikel yang keluar,
jawap pertanyaan dan berperanan sebagai pembantu pada Kudsia dan Abang Suby
masa itu.
Walaupun tugas-tugas
aku banyak dibelakang tabir dan ke udara untuk feature-feature yang aku
terbitkan. Aku juga perlu keudara
bersama Halim Othman jika Jamal Jamaluddin bercuti. Bermula dengan membaca laporan trafik secara
live dan menemani Halim dalam beberapa talkset, aku berminat untuk pergi lebih
jauh. Untuk itu aku kena berani, dan aku bertanya sendiri kepada Kudsia, boleh
atau tidak aku belajar untuk ke udara.
Dan aku tak sangka bila Kudsia cakap boleh.
Sejak itu, aku
belajar paneling dengan Abang Suby dan Abang Najman, dua orang yang pada aku
legend dalam industri. Masa tu kami tak
de latihan formal. Proses pembelajaran aku banyak berlaku melalui pemerhatian.
Belajar paneling dan editing dengan mereka berdua boleh sakit jantung
dibuatnya. “ Ha ha ha… tekan apa tu,
tekan apa tu!!!” , “Cepat Ann, cepat!!!”
Kadang-kadang sakit hati dibuatnya. Tapi itulah yang menjadikan aku
pandai.
Dari Junior Writer,
aku melangkah naik sebagai Senior Writer tapi itu semua hanya atas kertas
je. ERA Rentak Muzik Terkini adalah buah
hati pengarang jantung aku. Aku ingat
lagi, pada hari perkahwinan aku, Abang Suby telefon pagi-pagi, tanyakan jadual
kerja sebab ada yang dah cuti dan tiba-tiba ada yang cuti sakit. Aku cakap dengan dia, hari ini aku kahwin
kut, tapi aku tetap ambil jadual kerja dalam beg tangan dan cadangkan pada dia.
Aku diberi peluang untuk keudara menggantikan mereka yang bercuti, bila tak cukup orang dan kemudian kendalikan slot sendiri setiap hujung minggu. Satu kepuasan pada aku kerana dapat berinteraksi secara terus dengan pendengar. Dapat berkongsi idea-idea dan pendapat aku dengan pendengar.
Adat
dalam sesebuah organisasi pekerjaan, reshuffle adalah perkara biasa. Aku kemudian diberi peluang untuk menjadi
penerbit rancangan Pagi di Era bermula dengan Halim Othman bersama Krill,
kemudian Krill dan Kieran, Kieran, AC dan Yasmin Hani dan Kieran, AC dan KE. Macam-macam yang kami buat. Dalam banyak-banyak KnK meninggalkan kenangan
tersendiri pada aku, dari segi kerja, persahabatan, dan kekeluargaan. Terima kasih Kieran dan Krill yang setia
membantu aku melalui saat-saat paling sukar dalam hidup aku. Merancang dan menerbitkan rancangan nombor satu
radio bukanlah senang. Bergaduh,
bertegang urat, pecah kepala memikirkan topic, stunt dan sebagainya. Dari jadi toll gate boy, jadi pelayan kedai,
ke basuh kandang Hippo hingga ke Cabaran G-Force X. itulah kenangan –kenangan terindah aku.
Tugas
aku melangkaui ruang dan batas waktu.
Anugerah ERA, salah satu kebanggaan kami. Untuk merealisasikannya, aku pernah kerja
dari jam 5 pagi sehingga 9 malam.
Persiapan pertunangan diserahkan pada keluarga sedangkan persiapan
Anugerah ERA 1 diutamakan. Tidak kurang
sedikit kenangan yang tercipta, 3 kali kehamilan ketika beraksi di atas pentas
berprestij itu.
Bos juga bersilih ganti, bermula dengan Kudsia, Abang Suby,
Azrul, Seelan, Pak Tam dan Brian. Begitu
juga rakan-rakan sekerja, bersilih ganti, Yasmin Hani, Zizi, Nila Kurnia, AC
Mizal, Fara Fauzana, Faizal Ismail, Nana, Jimmy Shanley dan Redza. Semuanya mencoret cerita tersendiri yang kini
menjadi sebahagian daripada perjalanan ERA Rentak Muzik Terkini dan perjalanan
aku seorang ‘Nadira’.
Akhirnya selepas 9 tahun jatuh bangun bersama ERA Rentak Muzik Terkini, aku
memilih untuk meninggalkannya. Aku harus
akur betapa sayang pun aku padanya aku perlu tinggalkan. Pada mulanya aku
bercadang untuk menjadi penyampai sahaja dan memilih THR Gegar untuk mencurahkan
ilmu dan pengetahuanku. Tapi perancangan
Allah SWT itu lebih baik. Aku ditawarkan
untuk menjadi music executive untuk THR Gegar. Macam biasa, Seelah Paul dan
Kudsialah sumber rujukanku.
Tahun 2008 bermulalah perjalananku di THR Gegar. Satu tugas yang lebih mencabar. Menjadi orang ke 2 dalam stesen menguruskan
hampir keseluruhan perjalanan operasi menjadikan aku bersyukur dengan setiap
tangga yang aku daki di ERA dan setiap tugasan yang aku lakukan di ERA.
Dan kini selepas 16 tahun dalam industri, aku bergelar
Pengurus Kandungan THR Gegar. Lambat?
Mungkin ya jika melihat pada angka. Tapi
pada aku tidak pernah ada yang terlambat.
Perancangan dan ketentuan Allah SWT itu tidak ada yang terlambat atau
tercepat daripada apa yang tertulis. Aku
hargai dan aku bersyukur dengan setiap tahun yang aku lalui.
Selamat Hari Radio Sedunia untuk semua……
Semoga rohmu dicucuri rahmat...
ReplyDelete