Sunday, 12 February 2017

Perjalanan Seorang ‘Nadira’ – Selamat Hari Radio Part II

Radio!!!

Macam-macam cara orang mendengar radio sekarang seiring dengan kemajuan teknologi.  Boleh dengar melalui frekuensi FM, online, aplikasi di telefon bimbit, melalui saluran televisyen dan juga merentas garisan geografi dunia. Radio juga bukan lagi untuk di dengar tetapi juga dilihat. Kerjaya di radio juga sudah berubah daripada sebahagian daripada pengamal media kepada selebriti media.  Besar ruang radio ini membuatkan ramai yang tertarik dan berminat untuk menyertai radio.

Perjalanan kerjaya radio aku mungkin tidak seperti orang lain, kerana setiap dari kami punya cerita tersendiri.   Daripada seorang bekas pelajar sekolah agama dan kerja biasa-biasa kemudian jadi penyampai radio - itu Krill Rashid,  dari seorang arkitek menjadi penyampai radio - itu Halim Othman dan macam mana seorang pelajar jurusan sukan boleh menjadi penyampai radio, penerbit, pengurus dan sekarang memegang jawatan tertinggi- itu Seelan Paul.  Terima kasih kerana tolong promote aku pada Kudsia Kahar untuk ambil aku sebagai pekerja.  Aku kenang jasa kau sampai bila-bila.


Perjalanan kerjaya aku dalam radio ibarat seperti mendaki tangga bangunan Menara di UiTM Shah Alam ke tingkat 13 bila lift rosak. Kadang-kadang laju, kadang-kadang perlahan, ada masa penat dan lelah ada masa penuh semangat. Dan dalam pendakian itu, aku berselisih dengan ramai orang, membina persahabatan dan kenangan.
Aku bermula sebagai ‘intern’ atau pelatih amali. Selama 4 bulan aku membuat latihan amali di stesen radio Era Rentak Muzik Terkini ketika itu secara rasmi dan menyambung secara tidak rasmi selama 2 bulan lagi sehingga tamat cuti semester. (lebih detail boleh klik 
http://nadiraazizan.blogspot.my/2014/02/perjalanan-seorang-nadira-selamat-hari.html)

Selepas tamat latihan amali aku menyampung pelajaran di semester akhir.  Aku sibuk dengan pelajaran aku sehinggalah, aku mendapat khabar penyelia dan sifuku Allahyarham Rafi Mansor dimasukkan ke ICU.  Aku bergegas ke HKL dan masa aku sampai dia dah tak boleh bercakap, lehernya dah ditebuk tapi Alhamdulillah dia dah sedar.  Dalam kepayahan dia tanya aku, resume dah hantar belum? Aku teringat pesan dia untuk aku jadi assistant dia lepas habis belajar.  Aku cakap, nanti aku hantar.

Balik dari hospital, aku terus singgah cyber cafĂ©, taip resume dan email pada Kudsia Kahar.  Aku ingat lagi kandungan email itu.  Aku cakap pada Kudsia, aku tak kisah kalau dia tak ambil aku kerja sebab aku tahu English aku tak bagus sangat sedangkan kefasihan dalam berbahasa Inggeris adalah keperluan utama di Astro. Tapi aku hantar resume ni sebab aku dah janji dengan Encik Rafi.  Kalau Encik Rafi tanya, cakap aku dah hantar.

Kemudian, Kudsia panggil aku dan beritahu, aku dapat pekerjaan itu bermula sebagai Junior Writer dan aku bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan pada aku.  Tapi aku perlu mula secepat mungkin kerana keadaan kesihatan Encik Rafi.  Selepas berbincang dengan pensyarah dan penyelia projek akhir, aku dapat pelepasan awal untuk mula kerja.



30 Oktober aku menandatangani surat tawaran kerja itu di hari yang sama Allahyarham Encik Rafi meninggal dunia, meninggalkan “ERA” kesayangannya di tangan aku.  Dan aku memulakan kerja secara rasminya pada 9 November 1999 dengan azam untuk menjadikan ERA stesen radio nombor 1 seperti yang diinginkan oleh Allahyarham Rafi.

Secara rasminya tugasan aku adalah menulis dan membaca berita, feature-feature content yang ada untuk ERA, macam Teknosains, InfoSihat, Infocuaca, Infotrafik dan macam-macam lagi.  Tetapi kerana kami masih baru lagi ketika itu, semua perkara dilakukan secara berpasukan.  Setiap kempen akan dimulakan dengan sesi brainstorming sepasukan.  Dari mencari nama kempen sehinggalah ke perjalananan dan perlaksanaan kempen.  Aku juga dipertanggungjawapkan untuk mengendalikan urusan-urusan admin ERA, jadual kerja, jadual cuti, kumpul artikel yang keluar, jawap pertanyaan dan berperanan sebagai pembantu pada Kudsia dan Abang Suby masa itu.



Walaupun tugas-tugas aku banyak dibelakang tabir dan ke udara untuk feature-feature yang aku terbitkan.  Aku juga perlu keudara bersama Halim Othman jika Jamal Jamaluddin bercuti.  Bermula dengan membaca laporan trafik secara live dan menemani Halim dalam beberapa talkset, aku berminat untuk pergi lebih jauh. Untuk itu aku kena berani, dan aku bertanya sendiri kepada Kudsia, boleh atau tidak aku belajar untuk ke udara.  Dan aku tak sangka bila Kudsia cakap boleh.

Sejak itu, aku belajar paneling dengan Abang Suby dan Abang Najman, dua orang yang pada aku legend dalam industri.  Masa tu kami tak de latihan formal. Proses pembelajaran aku banyak berlaku melalui pemerhatian. Belajar paneling dan editing dengan mereka berdua boleh sakit jantung dibuatnya.  “ Ha ha ha… tekan apa tu, tekan apa tu!!!” , “Cepat Ann, cepat!!!”  Kadang-kadang sakit hati dibuatnya. Tapi itulah yang menjadikan aku pandai.

Dari Junior Writer, aku melangkah naik sebagai Senior Writer tapi itu semua hanya atas kertas je.  ERA Rentak Muzik Terkini adalah buah hati pengarang jantung aku.  Aku ingat lagi, pada hari perkahwinan aku, Abang Suby telefon pagi-pagi, tanyakan jadual kerja sebab ada yang dah cuti dan tiba-tiba ada yang cuti sakit.  Aku cakap dengan dia, hari ini aku kahwin kut, tapi aku tetap ambil jadual kerja dalam beg tangan dan cadangkan pada dia.

Aku diberi peluang untuk keudara menggantikan mereka yang bercuti, bila tak cukup orang dan kemudian kendalikan slot sendiri setiap hujung minggu. Satu kepuasan pada aku kerana dapat berinteraksi secara terus dengan pendengar.  Dapat berkongsi idea-idea dan pendapat aku dengan pendengar.



Adat dalam sesebuah organisasi pekerjaan, reshuffle adalah perkara biasa.  Aku kemudian diberi peluang untuk menjadi penerbit rancangan Pagi di Era bermula dengan Halim Othman bersama Krill, kemudian Krill dan Kieran, Kieran, AC dan Yasmin Hani dan Kieran, AC dan KE.  Macam-macam yang kami buat.  Dalam banyak-banyak KnK meninggalkan kenangan tersendiri pada aku, dari segi kerja, persahabatan, dan kekeluargaan.  Terima kasih Kieran dan Krill yang setia membantu aku melalui saat-saat paling sukar dalam hidup aku.  Merancang dan menerbitkan rancangan nombor satu radio bukanlah senang.  Bergaduh, bertegang urat, pecah kepala memikirkan topic, stunt dan sebagainya.  Dari jadi toll gate boy, jadi pelayan kedai, ke basuh kandang Hippo hingga ke Cabaran G-Force X.  itulah kenangan –kenangan terindah aku.

Tugas aku melangkaui ruang dan batas waktu.  Anugerah ERA, salah satu kebanggaan kami.  Untuk merealisasikannya, aku pernah kerja dari jam 5 pagi sehingga 9 malam.  Persiapan pertunangan diserahkan pada keluarga sedangkan persiapan Anugerah ERA 1 diutamakan.   Tidak kurang sedikit kenangan yang tercipta, 3 kali kehamilan ketika beraksi di atas pentas berprestij itu.


Bos juga bersilih ganti, bermula dengan Kudsia, Abang Suby, Azrul, Seelan, Pak Tam dan Brian.  Begitu juga rakan-rakan sekerja, bersilih ganti, Yasmin Hani, Zizi, Nila Kurnia, AC Mizal, Fara Fauzana, Faizal Ismail, Nana, Jimmy Shanley dan Redza.  Semuanya mencoret cerita tersendiri yang kini menjadi sebahagian daripada perjalanan ERA Rentak Muzik Terkini dan perjalanan aku seorang ‘Nadira’.

Akhirnya selepas 9 tahun jatuh bangun bersama ERA Rentak Muzik Terkini, aku memilih untuk meninggalkannya.  Aku harus akur betapa sayang pun aku padanya aku perlu tinggalkan. Pada mulanya aku bercadang untuk menjadi penyampai sahaja dan memilih THR Gegar untuk mencurahkan ilmu dan pengetahuanku.  Tapi perancangan Allah SWT itu lebih baik.  Aku ditawarkan untuk menjadi music executive untuk THR Gegar. Macam biasa, Seelah Paul dan Kudsialah sumber rujukanku.


Tahun 2008 bermulalah perjalananku di THR Gegar.  Satu tugas yang lebih mencabar.  Menjadi orang ke 2 dalam stesen menguruskan hampir keseluruhan perjalanan operasi menjadikan aku bersyukur dengan setiap tangga yang aku daki di ERA dan setiap tugasan yang aku lakukan di ERA.  



 Dan kini selepas 16 tahun dalam industri, aku bergelar Pengurus Kandungan THR Gegar.  Lambat? Mungkin ya jika melihat pada angka.  Tapi pada aku tidak pernah ada yang terlambat.  Perancangan dan ketentuan Allah SWT itu tidak ada yang terlambat atau tercepat daripada apa yang tertulis.  Aku hargai dan aku bersyukur dengan setiap tahun yang aku lalui.

Selamat Hari Radio Sedunia untuk semua……









Sunday, 25 May 2014

Perjalanan Seorang "Nadira"- Putera ke5 Hasrul Rayyan Naim

Hasrul Rayyan Naim dilahirkan pada 26 Mei 2012 pada jam 4.05am di Bilik Pembedahan Hospital Putrajaya dengan berat 2.84kg, tinggi 47cm dan ukur lilit kepala 34cm pada usia kandungan 36 minggu. Hasrul Rayyan Naim nama yang dipilih oleh suamiku yang bermaksud “Nikmat penjaga pintu syurga untuk mereka yang berpuasa”.

Throwback (bak kata orang-orang sekarang), selepas keguguran kandungan keempat pada November 2009, aku mengambil suntikan perancangan keluarga semula dan tidak pernah berbincang tentang percubaan untuk menambah bilangan ahli keluarga lagi.  Mungkin kerana trauma yang lalu, tapi aku pernah berpesan kepada suami, jika ada rezeki kami lain kali aku ingin kembali ke hospital yang sama aku lahirkan anak-anak sebelum ini bukan hospital berdekatan rumahku itu. Selepas genap setahun, aku tiba-tiba terasa malas untuk meneruskan suntikan tersebut. 

Dan…selepas beberapa bulan, hadirlah dia dalam diriku. Kehadiran Rayyan aku sahkan di Hotel Grand Reverview Kota Bharu sewaktu aku membuat tugasan luar.  Gambar ujian kehamilan itu aku mmskan kepada suami dan jujurnya dia membalas, “maksudnya?”.  Dan aku balas, “nak masuk 5 anak pun belum faham lagi?.”

Itu adalah tugasan luar terakhir aku kerana selepas itu aku tidak lagi dizinkan oleh suamiku untuk travel jauh-jauh.  Mungkin dia merasakan apa yang berlaku sebelum ini sedikit sebanyak disebabkan jadual travellingku yang begitu padat.


Mengandungkan Rayyan aku tak begitu teruk alahannya cuma cepat letih, aku rasa lebih kerana pertambahan berat badanku, untuk 3 puteraku yang pertama, berat aku cukup 60kg aku selamat melahirkan mereka tapi Rayyan, diawal kehamilan sahaja beratku sudah mencecah 61kg.  Ermm mungkin juga faktor usia.
Segalanya berjalan lancar sehinggalah pada 22 Mei 2012, kandunganku berusia 35 minggu 5 hari. Hari itu aku ada check up di hospital Putrajaya sebagai proses booking untuk membolehkan aku bersalin di sana.  Sampai dihospital sambil menanti nombor giliran, aku dan suamiku bergurau dan mengimbas saat-saat 3 kelahiran anak-anakku di hospital ini.

Tiba-tiba aku berkata,” entah-entah nanti jadi macam masa abang chik, lepas check up doctor kata dah kena masuk wad ni, langsung tak jadi nak jalan-jalan kat Alamanda”.  Itulah yang terjadi pada tahun 2006. Sejak pagi aku sudah mula rasa sakit tapi tidaklah sekuat mana, dan kami sekadar pergi ke hospital malam itu untuk pemeriksaan dan bertanya sama ada selamat untuk kamu travel balik kampong. Selepas di periksa, doctor cakap bukaan sudah 2cm dan contraction setiap lima minit dan aku perlu di tahan di wad malam itu juga.

Bila mengenangkan peristiwa itu kami ketawa.  Akhirnya tiba giliran aku berjumpa doktor, aku sudah sedia baring untuk ultrasound dan doktor menghampiri aku sambil membaca maklumat dalam buku rekod kehamilanku.  Sebaik sahaja gel disapu, bayangan bayi dalam perutku kelihatan, aku mengesan riak tidak enak diwajah doktor itu.  Riak yang aku tidak suka kerana ianya riak kebimbangan sama seperti 3 tahun lalu. 

Kemudian doktor memberi penjelasan, air ketubanku terlalu kurang, yang tinggal hanyalah dicelah-celah lipatan tubuh badan bayiku. Dan akhirnya kemasinan mulutku dan gurauan kami menjadi kenyataan. Kata doktor,” Air ketuban puan kurang, tapi baby masih kuat. Kami mungkin perlu tahan puan di wad tapi kita akan periksa jumlah sebenarnya dahulu.” 

Aku hanya mengangguk tanda faham.
Keluar dari bilik doktor aku khabarkan pada suami yang menunggu dan kami masih mampu tersenyum… sejarah berulang lagi… Lepas lebih kurang 10 minit menunggu, aku dipanggil dan inilah yang diberitahu pada aku,” Kami dah kira, kandungan air ketuban puan hanya tinggal 6 dan jumlah sepatutnya sekurang-kurangnya 12 pada waktu ini.  Puan perlu masuk hospital sekarang juga, oleh kerana kandungan puan lagi 2 hari cukup 36 minggu, kita hanya akan induce puan selepas itu.  Sekarang kami akan berikan puan satu suntikan untuk mematangkan paru-paru baby dan satu lagi selepas 12 jam. Puan boleh minta suami uruskan kemasukan ke wad.” Sekali lagi aku hanya mengangguk.

Sementara menunggu giliran mengambil suntikan, suami menguruskan prosuder kemasukan wad.  Selepas mengambil suntikan dan menunggu sehingga asar, kami dimaklumkan masih belum ada katil kosong, kami dibenarkan pulang dahulu dan akan dihubungi jika sudah ada katil yang kosong, jika masih belum ada kami perlu datang semula jam 12 tengah malam untuk mendapatkan suntikan matangkan paru-paru baby yang kedua.

23 May 2012-12 tengahmalam-Hospital Putrajaya, kami kembali ke bilik bersalin untuk mengambil suntikan kedua.  Usai semuanya, kami dimaklumkan untuk balik dahulu dan datang semula keesokkan harinya.

23 May 2012- 9.30am- Hospital Putrajaya. Awal lagi kami dah ada disana, menanti sambil membuat lawak-lawak sesama sendiri.  Menjelang tengahari barulah ada katil kosong dan dapatlah meluruskan belakang di atas katil.
Malam tu, ubat induce yang pertama dimasukkan. 

24 May 2012 – Wad 3B Hospital Putrajaya, masa dihabiskan dengan berehat dan menjahit sarung bantal baby.  Nasib baik mak ada di rumah masa tu, dalam keadaan mata pun dah tak berapa nampak, kena jahit tangan plak tu, mak berjaya tolong siapkan sarung tilam dan sarung bantal baby yang lain.  Terima kasih mak.

Kesakitan sudah mula terasa, datang dan pergi namun bukaan agak perlahan.  
Entah kenapa hati aku menjadi takut sangat hari tu, boleh dikatakan waktu itu ramai pulak yang bersalin secara pembedahan atas pelbagai sebab.  Airmata mula mengalir, aku takut, takut sangat, manusia tidak selalu diberi peluang banyak kali dan bernasib baik. Aku dah dua kali bernasib baik, seinci dari kematian sewaktu melahirkan Firdaus dan keguguran Baby X. Ya Allah, hanya padaMu aku berserah. Mungkin juga kerana itu yang diberitahu oleh doktor sewaktu pemeriksaan, pembedahan adalah jalan terakhir untuk menyelamatkan baby.

25 May 2012-Wad 3B Hospital Putrajaya, 6am pemeriksaan bukaan mendapati 2cm dan contraction 3/10.  Oleh kerana contraction dah semakin kerap hari ini doktor takkan masukkan ubat.  Menjelang tengahari bukaan naik ke 3cm.

Petang mak datang dan tak lama lepas tu babah naik dan tanya,” boleh turun? ‘Imran ada di bawah”.  Rindu sungguh aku pada kemanjaan puteraku yang seorang ini. Kerinduan membuatkan aku terlupa pada burger yang aku pesan dan kami turun ke bawah.  Baru sekejap melepaskan kerinduan, tiba-tiba 2 orang jururawat menghampiri dan memberitahu, doktor pakar arahkan untuk aku dibawa ke wad bersalin. Kami semua terkejut dan saling berpandangan. Sempatlah aku memohon maaf dan ampun daripada mak.  Babah kata, dia hantarkan mak dan anak-anak balik dulu dan akan datang semula.


Jam 6 petang air ketuban aku dipecahkan dan pada masa itu bukaan kekal 3cm dan menurut kata doktor pakar oleh kerana ini adalah kehamilan ke5 ku, jika mencapai 5 atau 6cm sudah memadai.  Entah kenapa bilik bersalin tu terasa panas, sangat kurang selesa dan jururawat maklumkan, ada gangguan bekalan elektrik, kuasa tidak mencukupi, mujurlah ada babah untuk tolong kipaskan.  Aku masih mampu tersenyum masih mampu melawak dengan babah.

Menjelang hampir 12 malam, senyumku bertukar airmata, mimpi ngeri yang aku takuti terjadi lagi.  Tidak ada perkembangan langsung dengan bukaan, baby juga tidak membantu kerana sentiasa tidur. Untuk mengelakkan sesuatu yang lebih buruk doktor memutuskan untuk aku menjalani pembedahan.  Ya Allah, ujian apakah kali ini.  Aku sudah mula menangis, untuk kali ini aku takut sangat. Adakah aku akan bernasib baik sekali lagi? 

Jam 3 pagi, 26 May 2012- bilik Bersalin Hospital Putrajaya, pakar bius datang dan memberi suntikan bius kepadaku dan aku mula rasa mengantuk, perkataan terakhir aku pada babah ialah, “ira ngantuk” dan aku dengar babah cakap, “tidur jelah”.
Ya Allah sakitnya, kenapa ada tangan masuk dalam perutku dan menggoncang perutku kasar dan tanpa sedar aku menjerit,”Sakit” dan seorang jururawat dengan pantas terus memasang gas penahan sakit dihidungku dan aku hanyut sekali lagi.

Aku mengambil masa yang agak lama untuk sedar di bilik pembedahan dan sebaik sedar aku terus bertanya macam mana dengan babyku? Kata jururawat, baby selamat dan dah dibawa ke wad.  Aku kemudian di tolak ke wad dalam keadaan masih separuh sedar.  Tidak bermaya sekali kelahiran kali ini aku rasa, selepas aku dipindahkan ke katil wad, jururawat menolak masuk baby dan memberitahu babah boleh azankannya dan aku tanya baby apa? Babah jawap, lelaki, dan aku ucapkan,”Alhamdulillah”.  Sesungguhnya aku yakin Allah SWT mempunyai rencana yang lebih baik dengan tidak memberi aku cahayamata perempuan.  Aku redha dan terima dengan kesyukuran. 

Memandangkan kesan ubat bius yang belum habis, baby dijaga oleh jururawat dan menjelang tengahari barulah aku sedar. Alhamdulillah babah dan mak dah pun sampai ketika itu.  Dan tengahari itu barulah aku berpeluang memegang dan menyusukan babyku. Selamat datang anak mamie, Hasrul Rayyan Naim.



Catatan ini dicoretkan menjelang ulangtahun  kelahirannya ke2nya. Selamat Ulangtahun ke2 semoga menjadi anak yang baik dan terus memekarkan cinta itu.  Mami sayang Adik…. Rabu/21 May 2014

Thursday, 13 February 2014

Perjalanan Seorang "Nadira"- Selamat Hari Radio Sedunia

Selamat Hari Radio Sedunia.   

Radio. 

Satu perkataan yang sungguh besar ertinya pada aku. Sejujurnya aku tidak pernah terfikir untuk berada di mana aku berada sekarang. Tidak pernah terfikir untuk bekerja di radio, tidak pernah terfikir akan dikenali kerana radio, tidak pernah terfikir membina keluarga dengan hasil kerja radio, tidak pernah terfikir langsung aku berada dalam "radio".

Untuk itu aku harus berterima kasih kepada sahabatku Rosnah Bujairomi yang membuka ruang untuk aku berada di sini.  Aku macam orang lain juga suka dengar radio. Yelah masa kecil radio je yang kami mampu.  Kalau dengar kaset pun lagu-lagu kegemaran abang-abang dan kakak-kakak aku.  Radio boleh dikatakan teman setiala terutama waktu belajar. 

Aku ingat lagi masa tingkatan 4, aku tengah buat kerja sekolah sambil dengar radio dan tiba-tiba DJ umumkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad meninggal dunia.  Beia-ia aku menangis.  Seharian.  Masa belajar di UiTM plak, waktu study malam-malam aku sering ditemani suara Ismahalil dengan cerita-cerita hantunya.  Aku suka mendengar lagu-lagu (secara percuma sebab tak mampu beli kaset) dan celoteh DJ yang suaranya lunak dan petah berkata-kata.

Berbalik kepada macam mana aku boleh bermula di radio, semua bermula pada hari terakhir peperiksaan semester 4 di UiTM bilamana aku mendapat surat penarikan balik tawaran membuat latihan amali sebagai wartawan di NTV7, bersama dengan sahabatku Rosna atau mesra di panggil Che Pah. Dalam erti kata lain aku tak ada tempat untuk membuat latihan amali pada semester 5 sebab banyak tempat lain yang kami dapat dah dipasskan kepada kawan-kawan.  Che Pah dah pucat-pucat muka sedih, aku pun samala juga tapi aku tetap aku, jangan difikirkan sangat.  Aku cakap dengan Che Pah, aku nak balik kampung dulu, lepas seminggu aku akan hubungi dia.

Lepas seminggu, Che Pah call aku dan beritahu, kawan boyfriend dia cakap radio ERA nak cari pelatih amali dan dia dah hubungi penerbit stesen radio tersebut dan kami diminta datang temuduga. Aku pun tak berapa tahu sangat pasal Radio ERA ni tapi apa yang pasti sebulan sebelum tu, Che Pah selalu datang bilik aku dan tukar channel radio aku ke channel radio ni, Radio baru katanya, tapi masa tu tak dapat menarik perhatian aku sebab aku suka dengar Radio Muzik.

Pada hari yang dijanjikan kamipun datanglah temuduga di Astro dan aku bertemu dengan Kudsia Kahar, pengurus ERA ketika itu dan juga Encik Rafi Mansur penerbit ERA.  Selepas perbincangan, Alhamdulillah kami berdua mendapat tempat membuat latihan Amali di ERA Rentak Muzik Terkini. 

Dengan Kudsia Kahar -Jamuan Perpisahan Tamat Praktikal

Makanya pada 14 Disember 1998, bermulalah kehidupan aku dan Che Pah sebagai pelatih di ERA Rentak Muzik Terkini.  Kami diletakkan dibawah selian penerbit Allahyarham Encik Rafi Mansor dan Seelan Paul. Waktu tu, ERA baru berusia 6 bulan dan semua perkara dilakukan dengan kerjasama sepasukan.  Sebelah pagi dan petang kami dipertanggungjawapkan untuk menyediakan, berita-berita luar negar, infocuaca, Infosihat, Infotrafik dan kapsul serta content yang diperlukan.  Sebelah tengahari, diperuntukkan untuk membuat kerja-kerja di bahagian promosi seperti packing hadiah dan sebagainya.

Banyak suka dan duka yang aku tempuh sepanjang 4 bulan (tambah sebulan lagi extend sendiri) menjalani latihan amali di ERA.  Dalam tempoh 5 bulan itu aku tak sangka, dunia aku akan bertukar 360 darjah. Dari seorang gadis yang datang dari kampung yang orang pun tak tahu di mana letaknya, aku mula dikenali.  Bila balik ke UiTM untuk semester 6, semua orang sibuk tanya, mana satu Nadira Azizan yang praktikal di ERA tu.  Tapi bukan itu yang aku cari, di ERA aku kenal erti persahabatan, erti kejujuran dan keikhlasan. Di ERA aku belajar untuk menyukai dan enjoy dengan apa yang kita lakukan.  

Team Pioneer ERA Rentak Muzik Terkini
Dari Kiri belakang: Najman, David, Krill, Gerard, Jamal dan Halim
Dari Kiri depan: Allahyarham Rafi Mansor, Rosna Bujairomi, Kudsia Kahar, Nadira Azizan, Linda dan Seelan

Belum sempat habis belajar aku ditawarkan kerja tetap di ERA sebagai Junior Writer, Alhamdulillah sekurang-kurangnya aku tidak perlu bersusah payah mencari pekerjaan untuk menanggung diri aku sendiri dan mak.  Tapi aku tak sangka, pada hari aku menandatangani surat tawaran tersebut iaitu pada 30 Oktober 1999, aku tidak akan bekerja dibawah sifuku tetapi sebaliknya aku akan menggantikan beliau yang kembali ke Rahmatullah pada hari tersebut.  

9 November 1999, aku memulakan kerjaya aku di ERA Rentak Muzik Terkini dengan Jawatan Junior Writer, kemudian aku diberi peluang untuk belajar keudara dan di beri peluang keudara sebagai penyampai.  Kerjaya aku naik setapak demi setapak, sehinggalah aku meninggalkan ERA untuk menyertai THR Gegar. Mungkin agak lambat pada sesetengah orang tapi aku gembira dengan hasil-hasil kerjaku yang masih diingati orang sampai sekarang.

Poskad ERA Rentak Muzik Terkini yang pertama. Tak pernah termimpi untuk jadi sebahagian daripadanya.

Selepas 14 tahun dalam  bidang ini aku happy dengan semua kenangan yang aku kutip. Aku tak tahu sampai bila aku akan berada dalam industri radio ini, yang pasti aku sukakan dunia ini.  Dunia suara di sebalik dinding ini.   

Selamat Hari Radio Sedunia untuk sifu-sifuku Kudsia Kahar, Allahyarham Rafi Mansor, Suby Mohtaruddin, Seelan Paul, Krill Rashid, Najman Mohamad, Linda Onn, David Low, Gerard dan Kak Zue. Dan Selamat Hari Radio untuk semua yang terus menghidupkan industri ini. 

Anugerah ERA 





Wednesday, 14 August 2013

Dia, Aku dan Kami

Hadirnya dia ke bumi Allah SWT ini pada tahun 1995, sebenarnya tidak berapa jelas di ingatanku kerana ketika itu aku sedang kalut dengan kehidupan remajaku. Remaja yang baru belajar tentang keindahan dan kesakitan sebuah cinta monyet.  Remaja yang sedang bergelut untuk memastikan kesinambungan pembelajaran berterusan. Remaja yang sedang berjuang mengawal realiti kehidupan.

Namun kepulangan selepas tamat STPM membuka ruang untuk aku lebih mengenalinya.  Mengenali anak kecil bertubuh kurus itu, kata doktor kurang zat makanan.  Sejak itulah dia menjadi sebahagian daripada hidupku.

Masih aku ingat percutian pertama kami berdua di Pulau Pangkor ketika usianya baru menginjak setahun lebih. Berjauhan dengan mama dan ayah untuk beberapa hari tidak menjadi kudis padanya kerana ada aku. Aku yang padanya ketika itu lebih dari seorang maksu.

Melayani kegilaan ku menyiapkan assignment dengan menjadikan dia model photocomm ku.  Mengheretnya berjalan kaki hingga ke Taman Tasik Taiping hanya dengan upah aiskrim.

Juga masih aku ingat ketika dia datang bercuti di Kuala Lumpur di usia 6 tahun.  Menerima cinta hatiku seadanya.  Dan juga masih aku ingat di hari raya itu bila kami mengambil gambar keluarga bersamanya buat pertama kali.

Masih segar diingatanku mainan perasaan kanak-kanaknya yang mempertikaikan, dia anak mamie dan babah, tapi kenapa namanya tidak ada "Hasrul" seperti adik Addin dan jawapan kami, abang "Hasrul Aboy Naim"

Dan hari ini, 14 Ogos 2013, "Hasrul Aboy Naim"ku atau Hakimi Ikhmal sudah bergelar seorang lelaki di usia 18 tahun.  Bukan lagi anak kecil yang sentiasa menantikan kepulanganku setiap kali cuti dan perayaan, kerana sekarang tiba giliran aku menanti kepulangan.

Hari ini dia menjadi kebanggaanku, babah dan mamanya.  Melawan segala halangan untuk berjaya dalam hidup.  Menjadikan sebuah kehilangan satu kekuatan.

Di hari ini, dihari ulangtahun kelahiranmu ke 18 ini, tiada yang mampu mamie berikan selain kasih sayang yang tak pernah berkurang dan doa yang berpanjangan. Semoga Abang Boy akan menjadi manusia yang berbakti pada agama dan bangsa.

Selamat Ulangtahun ke 18- "Hasrul Aboy Naim" Ku.............



Monday, 15 April 2013

150 Juta....

150 Juta adalah tajuk lagu Ainan Tasneem. Sejujurnya sebagai seorang yang berada dalam industri yang melibatkan lagu dan penyanyi ni, aku mesti tahu lagu ni. Jawapan aku, ya aku tahu lagu ini cuma tidak menghayati sepenuhnya.

Hujung minggu lalu perjalanan pulang ke Kuantan telah mengubah perhatian aku terhadap lagu ini.  Dan aku jatuh cinta tiba-tiba dengan lagu ini. Seperti mana aku jatuh cinta padanya hampir 20 tahun yang lalu.

Sebaris katanya yang membuat hatiku berbunga-bunga, "Bila i dengar lirik lagu ni perkara pertama i terbayang adalah u dan kita".

Jujurnya juga tiada siapa sangka sehingga kini hubungan kita. Selepas semua yang kita lalui bersama selama hampir 2 dekad...buat apa dicerita, bahagia kita rasa, biar tak dipercaya, peduli orang kata......


150 Juta

Ciptaan: Fynn Jamalj

Untuk kali ke seratus lima puluh juta
Mereka tanyakan engkau soalan yang sama
Eh kenapa kau masih lagi mahukan dia?
Apa kau buta apa kau pura-pura suka
gDi seratus lima puluh juta kali itu
Di depan semua engkau tarik tangan aku
Yang sedang bua csejujurnyat muka kosong tak ambil tahu
Sambil ketawa engkau bilang satu per satu
Dia mungkin bengis seperti singa
Tapi dia nangis tonton cerita Korea
Dia mungkin keras bila bersuara
Tapi dia jelas jujur apa adanya

Aku lagi kenal dia
Dah lebih seratus lima puluh juta kali
Aku pesan padamu apa yang bakal jadi
Engkau dan aku ada mungkin tidak serasi
Engkau sangat manis aku ini pula dawai besi
Di setiap seratus lima puluh jutanya
Aku pun dalam hati semacam tak percaya
Apa kau lihat pada aku jujurkan saja
Terus kau cubit dagu aku sambil berkata
Sayang mungkin baran tak kira masa
Tapi sayang tahan kalau yang salah saya
Sayang mungkin saja keras kepala
Tapi sayang manja bila kita berdua
Saya kenal sayang saya
Buat apa dicerita
Bahagia kita rasa
Biar tak dipercaya
Peduli orang kata
Baju ronyok tak apa
Asal pakai selesa
Berkilau tak bermakna
Kalau hati tak ada
Aku lebih bengis dari sang naga
Tapi bisa nangis semata demi cinta
Suaraku keras tak berbahasa
Kerna aku rimas gedik mengada-ngada
Aku mudah baran tidak semena
Mana boleh tahan angin cemburu buta
Dan aku sengaja tunjuk keras kepala
Aku punya manja kau saja boleh rasa
Rahsia kita berdua

Thursday, 4 April 2013

Apa difikiranku....

Kita manusia ni kadang kala terlalu banyak memikir sehingga tak sedar kita keluar dari dunia nyata buat seketika. Dan mungkin itu yang terjadi pada aku semalam. Namun sejujurnya aku masih gagal mengingati realiti semalam.  Begini ceritanya.

Aku merancang untuk meninggalkan office tepat jam 6 petang sebab baby Rayyan kurang sihat. Tapi aku hanya manusia biasa yang hanya merancang tapi Yang Maha Berkuasa yang menentukan.  Tetiba ada kerja yang perlu diselesaikan segera tanpa ditangguh, maka bekerjalah aku sekuatnya...iaitu menyiapkan tugasan  itu. Siap je, ready to balik jam dah pun menunjukkan pukul 6.30 petang.

So bermulah perjalanan pulangku...dan ini adalah setakat yang aku ingat.  Keluar dari gate pejabat, masuk jalan ke jalan raya, amik kiri turun ke highway, amik lane tengah dan vrooommmmm je...lepas tol masuk gear potong bas, dan kemudian.....

Aku sedar-sedar dah hampir ke tol UPM dan aku bertanya pada diri aku, macam mana aku joleh ada dijalan itu dan automatiknya aku lihat ditempat aku selalu letakkan tiket tol. Tiada tiket disitu kecuali wang kertas lima ringgit yang aku standby untuk bayar tol. Makanya otak aku pun ligat berfikir segala kemungkinan yang ada, tiket itu terjatuh ditiup angin, tiket itu terselit ditempat lain atau paling mengerikan aku melepasi tol tanpa mengambil tiket, huishhh samseng betil aku.

Selepas hampir 10 minit aku membiarkan kereta yang berbaris belakang aku di tol UPM, memaki hamun, atau berangan, atau menyumpah seranah aku, akhirnya aku diminta membayar RM53.30 pada tol yang nilai sebenarnya cuma RM1.60.

Berfikir hingga terkeluar dari realiti itu telah merugikan aku RM 51.70. Tapi itu hanya nilai ringgit yang membolehkan aku membeli 3 ekor ayam sebagai lauk untuk seminggu, cuba bayangkan kalau sesuatu yang lebih buruk berlaku?.....

Sehingg kini aku masih gagal mengingati apa yang berlaku tapi aku tetap ingat apa yang ada difikiranku ketika itu....baby Rayyan yang demam, suamiku yang kurang sihat dan kakakku yang perlu dimasukkan ke wad awal mei ini....dan itulah yang ada dalam fikiran aku....

Sunday, 31 March 2013

Aku dan gadget

Aku dan gadget
ibarat manusia dan merpati
ingin saling mendekati
tapi tidak cukup berani

Aku dan gadget
akan terkejarkah aku
kepantasannya?
keaktifannya?
kederasannya?
kemajuannya?

Tak aku pasti
kerana aku dan gadget
tidak sama seperti
kau dan gadget